Hospital Tawau Cipta Sejarah Bedah Otak Pesakit Sedar – Liew

TAWAU: Kejayaan Hospital Tawau melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar (Awake Craniotomy) disifatkan sebagai satu pencapaian bersejarah dalam perkhidmatan kesihatan awam negara.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liew Yun Fah berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan hospital pakar wilayah di Sabah menyediakan rawatan neurosurgeri berteknologi tinggi tanpa perlu merujuk kes ke luar negeri.

Menurutnya, prosedur berkenaan mengekalkan pesakit dalam keadaan sedar bagi membolehkan pakar bedah memantau fungsi pertuturan dan motor secara masa nyata sepanjang pembedahan dijalankan.

“Pendekatan ini membolehkan pembuangan tumor dilakukan secara maksimum tanpa menjejaskan kualiti hidup pesakit selepas pembedahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad atas sokongan berterusan dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan di Sabah.

Liew dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada barisan pakar neuro-bius serta seluruh pasukan pembedahan yang terlibat atas dedikasi dan komitmen tinggi menjayakan prosedur tersebut.

Katanya, kejayaan itu juga membuktikan keberkesanan model Hospital Kluster menerusi kerjasama strategik antara Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II dalam membawa kepakaran tahap tertiari terus ke hospital pakar wilayah.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan merupakan usaha proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengurangkan cabaran jarak yang selama ini membebankan rakyat Sabah, khususnya di Pantai Timur negeri ini.

“Penduduk tidak lagi perlu menempuh perjalanan berjam-jam ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan neurosurgeri kompleks.

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan, malah tekanan emosi keluarga pesakit,” ujarnya.