GRS Terbuka Jika Parti Komponen Mahu Bertanding Solo – Hajiji

PITAS – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap mana-mana parti komponen yang berhasrat untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana parti dalam gabungan itu untuk membuat keputusan sendiri berhubung penyertaan dalam PRN.

“Kita tidak mendesak mereka keluar daripada GRS. Kalau mereka rasa mahu bertanding solo, itu keputusan parti masing-masing.

“Namun kita dalam GRS masih kukuh, terutama hubungan dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), dan yakin dapat menghadapi PRN dengan kerjasama baik serta sokongan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Kampung Taka, Pitas, pada Sabtu.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, GRS masih komited meneruskan perjuangan demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan. Insya-Allah, kita akan menang pada PRN nanti,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak lima tahun lalu membuktikan keupayaan kerajaan negeri dalam memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“Mandat yang diberikan rakyat pada 2020 tidak disia-siakan. SMJ bukan sekadar slogan, tetapi satu pelan bertindak yang telah menunjukkan hasil walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.