KINABATANGAN: Projek Bandar Baharu Seri Milian kini jadi simbol kesungguhan Kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk memacu pembangunan Sabah.
Pemerhati politik tempatan, Aksyah Nasrah berkata beliau menyifatkan projek berimpak besar itu sebagai sejarah baharu Kinabatangan, sekali gus membuktikan GRS serius melaksanakan agenda Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. GRS bukan kerajaan N.A.T.O – No Action, Talk Only.
“GRS adalah kerajaan tulen yang ada autonomi, berani buat keputusan dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Aksyah, tuduhan pembangkang yang mendakwa GRS gagal hanyalah “naratif tanpa kompas”.
Katanya, rakyat Sabah kini sudah “move on” daripada parti luar yang hanya pandai beretorik.
“Pembangkang tiada misi, tiada visi. Mereka cuma hidup dengan fitnah. Hakikatnya, kerajaan sedia ada jauh lebih stabil dan mampu jamin masa depan Sabah,” tegasnya.
Sebagai anak jati Kinabatangan, Aksyah merakamkan penghargaan kepada Hajiji dan kepimpinan GRS di Lamag kerana berjaya menarik pelabur yang bakal memacu pembangunan daerah itu.
Namun, beliau mengingatkan penyokong supaya tidak leka.
“Sokongan sekarang jangan dipandang ringan. Kemenangan hanya sah bila keputusan undi diumumkan. Lawan tetap lawan,” jelasnya.