KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menegaskan komitmen untuk terus membawa agenda Sabah First dalam Kabinet Kerajaan Sabah yang baharu dibentuk. Beliau berkata fokus utamanya adalah memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan dalam setiap dasar dan rundingan.
Ewon,merupakan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, menyatakan bahawa pembangunan keusahawanan akan menjadi antara teras utama dalam menggerakkan ekonomi Sabah. Katanya, sektor itu mampu mencipta peluang baharu dan memberi manfaat terus kepada rakyat.
Menurutnya, UPKO kekal tegas memperjuangkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan. Ewon menegaskan bahawa isu tersebut adalah hak negeri dan perlu menjadi keutamaan pentadbiran baharu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas keyakinan yang diberikan kepada UPKO untuk terus berada dalam barisan Kabinet. Katanya, kepercayaan itu akan digalas dengan penuh tanggungjawab.
Dalam PRU17 Sabah, Ewon berjaya mengekalkan kerusi DUN Kadamaian dengan 11,977 undi, menewaskan tujuh calon lain dengan majoriti besar 9,672 undi. Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti sokongan padu rakyat sejak 2018.
Majlis angkat sumpah Jemaah Menteri turut menyaksikan barisan menteri lain mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, termasuk Datuk Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Ariffin Arif dan beberapa lagi pemimpin utama negeri.
