LAHAD DATU: Tiga maut manakala tiga lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terbalik di Batu 18, Jalan Sandau, Jalan Lahad Datu-Sandakan, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, semua mangsa merupakan warga Indonesia terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999.
“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta Proton Saga BLM terbabas sendiri sebelum terbalik dan enam mangsa tersepit di dalam kenderaan,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas rescue tools RTA untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.
“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi yang cedera parah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.27 petang selepas memastikan kawasan kejadian selamat.
Mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita berusia 36 dan 38 tahun serta seorang lelaki berusia 41 tahun, manakala tiga mangsa cedera parah masing-masing berusia lingkungan 40 hingga 46 tahun.