14 Notis Terhadap Peniaga Bazar Ramadan di Tawau

TAWWU:  Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau mengeluarkan 14 notis terhadap peniaga Bazar Ramadan selepas memeriksa 82 premis makanan sepanjang operasi penguatkuasaan yang dijalankan di daerah ini.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman, berkata tindakan itu diambil susulan pelbagai kesalahan yang dikesan, termasuk kegagalan mematuhi keperluan pemakaian pengendali makanan seperti apron dan penutup kepala di bawah Perkara 32(1)(b).

Menurutnya, notis turut dikeluarkan mengikut Perkara 11(1)(b) terhadap majikan yang menggaji pengendali makanan tanpa sijil latihan pengendalian makanan yang sah.

“Kita menggerakkan seramai 60 anggota bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di Bazar Ramadan sentiasa berada pada tahap memuaskan.

“Pematuhan terhadap peraturan amat penting bagi mengelakkan risiko keracunan makanan serta tindakan undang-undang terhadap peniaga yang ingkar,” katanya selepas mengetuai operasi pemeriksaan di Bazar Ramadan Sabindo, di sini.

Beliau berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada aspek kebersihan makanan, pematuhan pemakaian pengendali serta tahap kesihatan penjaja.

Tahun ini, lebih 1,100 peniaga beroperasi di lapan lokasi bazar sekitar Tawau sepanjang Ramadan.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menjalankan promosi kesihatan berkaitan penyakit tibi bagi meningkatkan kesedaran dan amalan pencegahan dalam kalangan masyarakat setempat.