Sokongan kerajaan pacu pembangunan sukan tarik tali Sabah

PUTATAN: Sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan sukan tarik tali diyakini mampu memperkukuh ekosistem sukan berkenaan serta menarik penyertaan semua lapisan masyarakat di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, inisiatif itu penting dalam melahirkan atlet pelapis dan meningkatkan mutu sukan tarik tali ke tahap lebih kompetitif.

Shah Alfie Yahya

Beliau berkata, program pembangunan yang terancang mampu mengangkat sukan tarik tali Sabah ke peringkat lebih tinggi termasuk di pentas antarabangsa.

“Sokongan ini memberi motivasi kepada penggiat sukan tarik tali dan secara tidak langsung membuka ruang pembangunan bakat baharu.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diperluaskan dari peringkat akar umbi sehingga profesional bagi memastikan kesinambungan dan kemajuan sukan tarik tali di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Pembangunan Sukan Tarik Tali Sabah 2026 di Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan), di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Tarik Tali Negeri Sabah (SATWA), Mohd Junaidi Mohd Zakaria, serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.

Mengulas penganjuran karnival itu, SAY berkata program berkenaan bersifat komprehensif kerana merangkumi latihan jurulatih dan pencarian bakat baharu, termasuk pembangunan disiplin tarik tali indoor yang kini mula diperluaskan.

Dalam pertandingan tarik tali outdoor terbuka, pasukan Rampbow muncul juara selepas menewaskan Reborn, manakala Gerambeat dan Atur Terus Jadi berkongsi tempat ketiga.

Bagi kategori tarik tali indoor, pasukan Panther I muncul juara, diikuti Panther II sebagai naib johan, sementara Orca dan TOT berkongsi tempat ketiga.