KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) memperoleh 20 peratus kepentingan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) North Sabah Enhanced Oil Recovery (EOR) menerusi perjanjian farm-out dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB).
Perjanjian itu dimeterai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini dan akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.
Ketua Menteri Sabah, Datik Seri Panglima Hajiji Noor, berkata pengambilalihan tersebut selari dengan strategi jangka panjang negeri untuk memperkukuh kedudukan dalam sektor minyak dan gas melalui pelaburan strategik serta kerjasama dengan Petronas.
“Peluang dalam sektor tenaga Sabah semakin berkembang dan kerajaan negeri komited memastikan manfaat yang mampan kepada rakyat,” katanya.
PSC North Sabah EOR merangkumi empat medan minyak yang sedang beroperasi di perairan cetek luar pesisir Kota Belud.
Aset itu melibatkan 20 platform luar pesisir dan saluran paip sepanjang 143km yang menyalurkan minyak mentah ke Terminal Minyak Mentah Labuan.
Selepas transaksi ini, SMJE akan memegang 20 peratus kepentingan sebagai rakan bukan pengendali. SEA Hibiscus Sdn Bhd kekal sebagai pengendali dengan 50 peratus kepentingan, manakala PCSB mengekalkan baki 30 peratus.
Penglibatan terbaharu itu dijangka meningkatkan penghantaran kargo minyak mentah SMJE daripada 4.7 kargo pada 2025 kepada tujuh kargo pada 2026, sekali gus mengukuhkan aliran hasil negeri.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penyertaan dalam PSC berkenaan mencerminkan peranan negeri yang semakin matang dalam aktiviti huluan minyak dan gas.
Dalam majlis sama, Petronas dan Sabah Energy Corporation turut menukar dokumen Perjanjian Dasar Induk bagi Kluster Mutiara, yang membuka laluan kepada perjanjian jualan gas pada masa depan, dengan pembangunan disasarkan bermula suku pertama 2029.
