KENINGAU : Kerajaan Negeri sedang dalam proses menaiktaraf serta menambahbaik Sistem Maklumat Kakitangan Sektor Awam Negeri dahulunya dikenali sebagai SM2 kepada sistem baharu dengan ciri-ciri keselamatan terkini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, pembangunan sistem baru ini akan meningkatkan lagi keupayaan perkhidmatan sektor awam Sabah ke tahap yang lebih tinggi dan baik.

Katanya, bagi memastikan capaian sistem sedia kerajaan melalui SabahNet akan menaiktaraf kelajuan capaian ke rangkaian sekurang-kurangnya 100Mbps bagi setiap site di wilayah-wilayah pedalaman.
“Ini adalah di antara strategi berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pendigitalan bukan sahaja dapat dirasai serta dimanfaatkan di peringkat ibu pejabat tetapi juga di peringkat daerah dan cawangan seperti di Wilayah Pedalaman Atas ini.
“Pendigitalan kerajaan negeri tidak akan lengkap sekiranya isu keselamatan siber tidak dititikberatkan. Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan SabahNet sentiasa memastikan isu-isu berkaitan keselamatan siber sentiasa menjadi keutamaan,” katanya pada majlis Majlis Perasmian Seminar ICT Sektor Awam peringkat Negeri Sabah, di sini kelmarin.
Mohd Ariffin berkata, Sabah bertuah berikutan mempunyai satu pasukan khas yang bertanggungjawab menjaga isu keselamatan siber negeri dikenali Sabah State Government Computer Security Incident Response Team atau singkatnya SgCSIRT dianggotai pakar-pakar keselamatan ICT di negeri Sabah.
“Namun perlu diingatkan elemen yang paling lemah dalam ekosistem keselamatan siber adalah manusia. Justeru sebagai pengguna harus peka dengan ancaman keselamatan siber yang ada dan berterusan.
“Ini khususnya mendapatkan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan agar tidak tertipu dan menjadi mangsa keselamatan siber dengan taktik-taktik terkini yang digunakan oleh scammer dan pembuli siber ini,” jelas Mohd Ariffin.
