TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dari Tawau yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak kecil masih menunggu peluang untuk menjalani pemindahan organ yang sesuai dengan usianya.
Ibunya, Hasinah Marola, berkata anaknya, Zhafran Hijazi Zainuddin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka Tawau, mula mengalami masalah kesihatan itu ketika berusia sekitar lima tahun.
Menurutnya, keadaan itu disedari selepas Zhafran pulang bermain bersama rakan-rakannya sebelum mengadu sakit perut dan mengalami kencing bercampur darah.
“Selepas itu kami mendapatkan rawatan di Hospital Tawau sebelum dirujuk ke Hospital Likas untuk pemeriksaan lanjut termasuk prosedur MCUG, dan seterusnya menjalani rawatan susulan dengan pakar buah pinggang, termasuk di Hospital Sandakan,” katanya ketika ditemui.
Hasinah berkata, selepas lebih lapan tahun menjalani rawatan, anaknya kini masih bergantung sepenuhnya kepada rawatan hemodialisis di Hospital Tawau sebanyak tiga kali seminggu.
Katanya, rawatan berkenaan setakat ini ditanggung melalui surat jaminan (GL) daripada pihak sekolah memandangkan Zhafran masih berstatus pelajar.
Namun begitu, katanya, cabaran utama ketika ini adalah mendapatkan penderma buah pinggang yang benar-benar sesuai dengan keadaan fizikal dan umur anaknya.
Menurut beliau, buah pinggang penderma dewasa tidak semestinya sesuai digunakan bagi remaja seusia Zhafran, menyebabkan usaha mendapatkan organ yang sepadan menjadi lebih rumit.
“Kami sudah lama memohon dan menunggu peluang ini. Apa yang kami harapkan ialah adanya penderma yang sesuai supaya anak saya ada peluang untuk hidup lebih baik,” katanya.
Hasinah turut memaklumkan bahawa beliau sendiri pernah berhasrat untuk menjadi penderma, namun tidak dapat berbuat demikian kerana faktor kesesuaian dari segi darah dan keadaan tubuh.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mereka sebelum ini pernah bertemu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kira-kira dua tahun lalu bagi mendapatkan perhatian terhadap keperluan rawatan anaknya.
Semalam, keluarga itu turut menerima kunjungan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, yang menyatakan komitmen untuk membantu mengusahakan sokongan lanjut terhadap kes berkenaan.
Hasinah berkata, keadaan buah pinggang anaknya kini semakin membimbangkan dan berharap lebih ramai pihak dapat tampil membantu, sama ada dari segi rawatan, kebajikan atau usaha mendapatkan penderma yang sesuai.
“Kami hanya mahu dia dapat peluang hidup seperti remaja lain,” katanya.
