Rumah dan kereta hangus dalam kebakaran di Batu 13, Sandakan

SANDAKAN: Suasana sunyi awal pagi di Batu 13, Sandakan bertukar cemas apabila sebuah rumah separuh kekal musnah dijilat api dalam kebakaran kira-kira jam 2 pagi, hari ini.

Dalam kejadian itu, rumah berkeluasan 80×80 kaki serta sebuah kereta Proton Wira hangus terbakar 100 peratus, namun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Menurut Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.58 pagi sebelum menghantar 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan ke lokasi.

“Sebaik tiba pada jam 2.16 pagi, api marak dengan cepat. Pasukan kami segera melaksanakan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air menerusi kaedah offensive dan defensive,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta water tanker sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.32 pagi dan operasi ditamatkan pada 3.27 pagi.

Beliau berkata, pasukan turut menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi punca api tertinggal dan kawasan selamat sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera.

“Hanya rumah dan kenderaan musnah sepenuhnya. Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.