PAPAR: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut manakala enam individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai Lok Kawi–Kinarut, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.04 pagi itu, sebuah Proton Iswara bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton, menyebabkan Proton Iswara tercampak ke dalam parit manakala Mitsubishi Triton terbalik di lokasi kejadian.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, terdapat seorang mangsa dari Proton Iswara tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Empat lagi mangsa dari Proton Iswara dilaporkan tercampak keluar ke dalam parit akibat pelanggaran berkenaan dan mengalami kecederaan parah. Kesemua mangsa cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta EMRS Bomba.
Sementara itu, pemandu Mitsubishi Triton dilaporkan selamat dan tidak cedera, manakala seorang penumpang wanita mengalami kecederaan dan turut menerima rawatan di hospital.
Operasi menyelamat melibatkan 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Penampang serta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM dan KKM. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.44 pagi.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
