KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri telah berjaya membuka peluang kepada anak muda untuk berkembang dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata program ini bukan sahaja memberi pengalaman praktikal, tetapi juga membentuk jati diri, integriti, serta kepimpinan unggul di kalangan peserta.
“Matlamat kami adalah melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berilmu dan mahir, tetapi juga berjiwa rakyat, mampu menyelami denyut nadi komuniti, dan menjunjung semangat cintakan negeri melebihi kepentingan diri,” kata beliau.
Beliau menyeru para felo untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin, memahami pentadbiran kerajaan, bagaimana dasar digubal, dan bagaimana keputusan dijalankan demi rakyat.
“Jadikan tempoh sebagai felo medan untuk membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian. Letakkan integriti sebagai teras diri, dan buktikan bahawa anak muda mampu memberi idea bernas dan memimpin dengan tindakan berkesan,” tambah Hajiji.
Program ini turut mendapat sokongan kukuh daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan 20 GLC terlibat kali ini berbanding hanya 10 sebelum ini. Ramai felo juga telah ditawarkan peluang pekerjaan dengan GLC masing-masing selepas tamat program.
Ketua Menteri memuji usaha Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) yang merangka dan melaksanakan program ini sebagai platform penting untuk mengasah bakat kepimpinan, membina daya saing, dan mempersiapkan generasi pelapis negeri.
“Golongan belia bukan sekadar pelapis, tetapi aset penting yang mewarisi masa depan negeri. Saya berharap pengalaman Felo SMJ menjadi permulaan perjalanan kepimpinan yang memberi manfaat kepada rakyat dan Sabah secara keseluruhan,” katanya.
