PRN Sabah: PBS, Gagasan Rakyat Sepakat Pertahan DUN Kiulu

TUARAN: Dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), memperhebat gerak kerja bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu kekal milik gabungan itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Sebagai tanda kesiapsiagaan, kedua-dua parti mengadakan bengkel ejen tempat mengundi dan mengira undi (PACA) di Tamparuli, Isnin lalu, yang disertai lebih 200 pemimpin akar umbi. Program anjuran jentera GRS Kiulu itu bertujuan memperkukuh koordinasi operasi, kefahaman prosedur pilihan raya dan semangat kerja berpasukan menjelang hari pengundian.

Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai, menegaskan bengkel itu mencerminkan semangat perpaduan GRS yang kukuh dan teratur di peringkat akar umbi.

“Fokus kita bukan siapa lawan kita, tetapi memastikan setiap undi dilindungi dan proses pilihan raya berjalan lancar. Apa yang rakyat mahukan ialah kerajaan yang berfungsi dan menyampaikan, dan itu yang terus GRS lakukan,” katanya.

Beliau turut menerima pujian atas komitmen membangunkan Kiulu melalui inisiatif pelancongan luar bandar, pertanian dan infrastruktur yang membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Datuk Abdul Kasim Razali dan Datuk George Teo menyifatkan kehadiran besar pemimpin akar umbi membuktikan kekuatan jentera GRS di Kiulu.

“Bengkel ini bukan sekadar latihan, tetapi simbol kesepakatan dan kesiapsiagaan untuk memastikan kemenangan GRS di Kiulu,” ujar George.