Piala FA: Sabah FC sedia beri sepenuh komitmen, kata De Marigny

KOTA KINABALU: Sabah FC berada dalam keadaan bersedia menjelang perlawanan akhir Piala FA selepas hampir lapan minggu menjalani persiapan intensif, kata ketua jurulatih pasukan itu, Daniel Jean Paul de Marigny.

Menurut Daniel, tahap kecergasan dan fokus pemain kini berada pada tahap optimum, dengan keseluruhan pasukan menunjukkan disiplin tinggi sepanjang tempoh persiapan.

“Kami berbangga dengan pencapaian ini. Para pemain bekerja keras dan layak berada di pentas final. Kami akan memberikan segala-galanya demi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Daniel berkata, pasukan telah melengkapkan perancangan taktikal bagi menghadapi perlawanan akhir, termasuk usaha mengekang ancaman lawan dan memanfaatkan peluang yang tersedia.

Beliau turut memaklumkan bahawa momentum pasukan berada dalam keadaan positif selepas beberapa aksi terdahulu yang menyaksikan Sabah FC mempamerkan prestasi konsisten serta menghasilkan jaringan berkualiti.

Mengulas mengenai sokongan penyokong, Daniel menggesa peminat Sabah FC yang berada di Semenanjung Malaysia untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau memberikan sokongan dari jauh bagi menaikkan semangat pasukan.

Sabah FC dijadualkan beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA di SNBJ, dengan pasukan itu memburu kejayaan pertama di pentas tersebut sejak kali terakhir layak ke final 27 tahun lalu.