KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah mempersoalkan kelewatan Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana pembangunan ke Sabah menyebabkan sebahagian besar peruntukan tidak dapat dibelanjakan.
“Sepertimana tahun lalu dan beberapa tahun sebelumnya dana pembangunan ke atas Sabah hanya disalurkan pada penghujung tahun dan ini menyebabkan kementerian atau jabatan di peringkat negeri tidak sempat menyediakan perincian dokumentasi.
“Akibatnya sebahagian besar peruntukan pada tahun semasa tidak dapat dibelanjakan dan terpaksa dikembalikan untuk dikitar semula dalam peruntukan tahun berikutnya,” katanya.
Beliau berucap membahaskan Dasar Kewangan Kerajaan bagi tahun 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16 lewat petang tadi berakhir tepat jam 6.00 petang.
Masiung mencadangkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) supaya menyalurkan peruntukan yang diberikan seawal bulan Februari atau Mac pada tahun depan supaya semua program pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Wakil Bebas itu juga mahukan agar Kerajaan Persekutuan berlaku tulus memberikan autonomi kepada Kerajaan Negeri untuk membelanjakan peruntukan yang diberikan.
Selain Itu, Masiung turut menyuarakan agar Sabah tidak terlalu bergantung dengan hasil royalty petroleum dan cukai jualan minyak sawit sambil menyatakan kebimbangan sekiranya wujud manipulasi global menyebabkan harga minyak dan komuditi itu turun mendadak hingga menjelaskan ekonomi negeri.
Beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri menerokai sumber mineral yang terdapat di bumi Sabah sebagai pembangunan ekonomi baharu.
Katanya, bumi Sabah yang kaya dengan sumber asli seperti arang batu dan clinker yang boleh diproses menjadi simen wajar diterokai sebagai sumber ekonomi yang berimpak tinggi.
