KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) akan jalin bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat kajian pembangunan keusahawanan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kajian ini akan mula dilaksanakan pada Januari 2022 sekali gus mengambil masa selama 8 bulan untuk disiapkan.
Katanya, hasil kajian ini, satu Pelan Tindakan Transformasi Pembangunan Keusahawanan Sabah 2023 – 2028 akan dihasilkan sebagai hala tuju atau panduan pelaksanaan program pembangunan keusahawanan kepada semua agensi.
“Pelan ini juga akan mencadangkan industri serta produk yang bersesuaian di setiap daerah di negeri Sabah dengan merujuk sumber asli yang tersedia.
“Dengan adanya pelan ini nanti, setiap daerah akan memiliki identiti industri atau produk yang mencerminkan daerah tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Mohd. Arshad Bistari pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Mohd. Arshad bertanya bagaimanakah pihak Kementerian boleh membantu dari segi kemudahan dan dana sebagai galakan kepada para peniaga berkenaan Program Keusahawanan Satu Produk Satu Kampung yang dilaksanakan di Kawasan DUN Tempasuk.
Dr. Joachim selaku Timbalan Ketua Menteri berkata, Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1992 sebagai Satu Kampung Satu Produk (SKSP) dengan mengambil pengalaman Program One Village One Product (OVOP) dari Jepun yang telah bermula sejak tahun 1979.
Pada tahun 2002, katanya, program ini dikembangkan menjadi Satu Kampung Satu Industri (SKSI) dan kemudian diberi nama baru kepada SDSI pada tahun 2003.
“Program SDSI merupakan satu program pembangunan ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan yang berterusan dan seterusnya akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat umumnya serta masyarakat setempat khususnya.
“Objektif pembangunan Program SDSI adalah untuk melonjakkan produk setempat sebagai industri yang berdaya maju seiring dengan pembangunan usahawan yang berdaya saing,” katanya.
Secara spesifiknya, jelasnya, tumpuan program ini menjurus kepada 3 aspek iaitu mewujudkan masyarakat usahawan yang kreatif dan berinovasi melalui aktiviti sosio-ekonomi secara komuniti.
Ini akan mewujudkan industri bertaraf Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan secara komersil berorientasikan model perniagaan yang berdaya tahan dan berdaya maju serta mempunyai rantaian nilai ekonomi.
“Ini akan mewujudkan produk unik yang dapat memperkenalkan sesebuah daerah atau keistimewaan setempat yang memberikan identiti kepada daerah tersebut.
“Bagi membezakan Produk SDSI berbanding produk industri lain, kriteria penentuan produk SDSI diperkenalkan, katanya, sambil menambah, hanya produk yang memenuhi sekurang-kurangnya dua kriteria sahaja akan diiktiraf sebagai produk SDSI,” katanya.
Katanya, kegiatan yang melibatkan komuniti setempat; produk yang unik; penggunaan sumber tempatan; pewujudan rantaian nilai ekonomi; dan peluang pekerjaan.
“Pembangunan projek-projek SDSI dibahagikan mengikut kluster atau bidang usaha berdasarkan kepada kapasiti usahawan, kebolehpasaran produk dan sumber bahan mentah.
“Secara keseluruhannya, pembangunan produk SDSI dibahagikan kepada 4 kluster iaitu kluster produk makanan dan minuman; kluster homestay; kluster produk kraf; dan kluster produk kesihatan,” katanya.
Di peringkat Kerajaan Negeri, katanya, MID melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) memperkenalkan program “1 District 1 Small Industry” (OD1SI).
Jelasnya, konsep program ini adalah sama dengan program SDSI iaitu bagi mengenal pasti para usahawan yang membuat produk-produk berasaskan bahan-bahan tempatan serta mempunyai potensi untuk ditambah nilai dan seterusnya diketengahkan ke peringkat global.
“Sebagai contoh bagi daerah Matunggong, pihak DIDR telah memilih Industri Gong dan Manik sebagai Program OD1SI kerana Industri Gong dan Manik adalah identiti khusus bagi daerah ini. Selain itu, ia dapat melahirkan lebih ramai usahawan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitarnya.
“Bagi mana-mana daerah yang memiliki kriteria yang ditetapkan dalam program OD1SI, pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha membantu ahli komuniti yang terlibat,” katanya.