Pengisytiharan bencana kemarau di Sebatik ditarik balik

TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau menarik semula pengisytiharan bencana kemarau di daerah itu termasuk kawasan Pulau Sebatik yang diumumkan sebelum ini.

Pengerusi JPBD Tawau, Joseph Pang, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian dan pemantauan semasa mendapati keadaan tidak lagi memenuhi kriteria bencana kemarau.

Menurutnya, secara keseluruhan situasi di daerah Tawau kini berada dalam keadaan terkawal.

“Bagaimanapun, isu kekurangan bekalan air di kawasan Pulau Sebatik masih berada dalam pemantauan rapi JPBD dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak JPBD Tawau akan terus melaksanakan pemantauan berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keadaan kekal terkawal.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada saluran rasmi selain mengamalkan penggunaan air secara berhemah.