Mohd Arifin Profesor Adjung UIS, eratkan dakwah Sabah–Semenanjung

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Islam Selangor (UIS).

Pelantikan tersebut disempurnakan menerusi Majlis Serahan Watikah Pelantikan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, yang berlangsung di Pejabat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, pada Isnin.

Menurut Mohd Arifin, pelantikan berkenaan diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan ukhuwah, dakwah serta jaringan keilmuan Islam antara Sabah dan Semenanjung, khususnya Selangor.

“Kerjasama strategik ini penting bagi memperkasakan pendidikan dan keilmuan Islam di samping memastikan kesinambungan kemasukan anak-anak Sabah ke Universiti Islam Selangor,” katanya.

Beliau berkata, hubungan erat antara institusi pendidikan Islam dan kepimpinan negeri mampu memberi impak besar dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat pihak pengurusan tertinggi UIS yang turut membincangkan hala tuju serta kerjasama berterusan dalam pembangunan pendidikan Islam dan dakwah di peringkat nasional.