KOTA KINABALU : Kegiatan cubaan mencuri kabel bawah tanah 33kV Lokawi-Kinarut menyebabkan punca gangguan bekalan elektrik di kawasan Kinarut pada 22 November lalu
Pengurus Besar Kanan Sabah Electricity (Pengurusan Aset) Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, selepas aduan gangguan bekalan elektrik diterima, pasukan teknikal membuat pemeriksaan segera.
Katanya, pihak mendapati kabel bawah tanah 33kV Lokawi-Kinarut yang berada di bawah jambatan Sungai Kinarut terbakar akibat cubaan mencuri kabel.
Katanya, operasi memadamkan kebakaran segera dijalankan sambil dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah.
“Meskipun menghadapi cabaran, bekalan dipulihkan secara berperingkat bermula jam 2.18 pagi dan pulih sepenuhnya pada jam 3:37 pagi.
“Pihak Sabah Electricity dapat meminimumkan kesulitan kepada lebih 8,000 pengguna yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusmanizam berkata, Sabah Electricity sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam
memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Tindakan pantas dan efisien pasukan teknikal Sabah Electricity berjaya memastikan gangguan bekalan elektrik di Kinarut diatasi dalam masa yang singkat.
“Syarikat ini akan sentiasa memberikan yang terbaik dan ini terbukti melalui tindakan segera memulihkan gangguan bekalan dengan pantas di Kinarut,” jelas Mohd Yusmanizam.