Kiulu Bakal Jadi Pekan Terancang, Jambatan Baharu Pacu Pembangunan – Joniston

KIULU: Usaha menjadikan Kiulu sebagai pekan terancang dan lestari kini giat dijalankan bagi memastikan pembangunan seiring dengan keperluan masyarakat yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata projek peluasan pekan Kiulu turut dipacu oleh pembinaan Jambatan Bayag yang sedang dalam pelaksanaan.

Katanya, jambatan itu bukan sekadar menambah baik akses perhubungan, tetapi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta membuka potensi baharu di kawasan luar bandar tersebut.

“Dengan peluasan pekan yang dirancang, kita dapat menyediakan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan bagi menyokong Kiulu sebagai pusat pertumbuhan luar bandar yang dinamik,” katanya di sini semalam.

Beliau memaklumkan, antara kemudahan yang dicadangkan termasuk deretan kedai baharu, padang bola sepak, balai polis penuh serta perumahan kos rendah bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas.

Joniston merupakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, pembangunan itu turut mengambil kira kekuatan Kiulu sebagai kawasan pertanian dan ekopelancongan berasaskan komuniti.

“Kita mahu pembangunan yang seimbang, yang mampu mempertingkatkan taraf hidup penduduk tanpa mengorbankan alam sekitar, budaya dan identiti tempatan yang menjadikan Kiulu unik,” katanya.

Menurutnya, pemimpin akar umbi menyambut baik pelan berkenaan dan yakin ia mampu mencetus peluang baharu kepada generasi muda untuk kekal dan membina kehidupan di kampung halaman masing-masing.