Kerajaan Sabah komited pastikan tiada pelajar tercicir akibat kekangan kewangan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan kebajikan pendidikan asas terus terpelihara, khususnya bagi pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata inisiatif seperti Program Kembali Ke Sekolah penting bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program berkenaan di Balai Raya Kampung Titingan, yang memberi manfaat kepada 100 pelajar melalui sumbangan beg sekolah serta bantuan kewangan.

Menurutnya, selain membantu dari segi keperluan asas persekolahan, program sedemikian turut memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin dan bersemangat.

“Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat amat penting bagi memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat yang tampil menyumbang dan menjayakan program berkenaan, sekali gus membuktikan peranan penting tanggungjawab sosial korporat dalam pembangunan masyarakat.