Jentayu Sustainables Berhad bangunkan Loji Hidrokuasa bernilai RM3 bilion di Sabah

KOTA KINABALU : Jentayu Sustainables Berhad komited membangunkan Loji Hidrokuasa sebagai inisiatif tenaga hijau utama di Sabah.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Beroz Nikmal Mardin berkata, loji hidro terletak di Ulu Padas Sipitang, akan mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 162 megawatt dan dijangka memulakan pembinaan dalam tahun ini.

Beroz Nikmal Mardin

“Projek ini sedang dalam fasa akhir memuktamadkan perjanjian, termasuk Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bersama Sabah Electricity (SE).

“Manakala ia termasuk kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) dengan kontraktor pelaksana,” katanya di sini semalam.

Beroz Nikmal berkata, projek yang dianggarkan bernilai hampir RM3 bilion itu akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta tanpa sebarang dana awam.  

“Projek ini akan mengambil masa 42 bulan untuk disiapkan dan kita menyasarkan untuk menjana bekalan elektrik menjelang pertengahan tahun 2029,” ujar beliau.

Beroz turut menjelaskan bahawa tenaga yang dijana adalah sepenuhnya tenaga hijau dan akan disalurkan ke dalam grid negeri Sabah.

“Kita bercakap tentang tenaga hijau, ESG, dan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Kita bukan sahaja menambah 162 megawatt ke dalam grid, tetapi kita juga menjualnya pada kadar yang sangat kompetitif hanya 31.5 sen/kWj dan ini jauh lebih rendah berbanding pesaing lain di pasaran.

“Ini adalah tanggungjawab kami sebagai rakyat Sabah untuk membekalkan tenaga yang bukan sahaja boleh dipercayai, tetapi juga mampu milik, supaya seluruh rakyat dapat menikmati manfaatnya,” tambah beliau.