Jangan tular video kes kematian lelaki di media sosial – Polis

PENAMPANG: Polis mengingatkan orang awam agar tidak sebarang spekulasi berikutan penemuan seorang lelaki tempatan meninggal dunia di sebuah kereta di premis di Putatan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, ini termasuk tidak menularkan sebarang imej atau video berhubung kes kematian itu di media sosial.

Katanya, ini bertujuan untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat.

“Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berumur 57 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa disahkan sudah meninggal dunia pegawai perubatan daripada Hospital Queen Elizabeth Satu (QEH1),” katanya di sini hari ini.

Haris berkata, mangsa kemudiannya di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk tindakan lanjut dan mengetahui punca kematian.

“Kes tersebut masih dalam siasatan dan setakat ini di klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.