Gunung Kinabalu Diiktiraf Miliki Penanda Kiblat Tertinggi Negara

KOTA KINABALU – Gunung Kinabalu terus mencipta nama apabila monumen penanda arah kiblat yang dipasang di KM8 gunung ikonik itu, diiktiraf sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pengiktirafan rasmi itu merupakan kebanggaan buat rakyat negeri ini dan membuktikan keupayaan Sabah dalam melaksanakan projek berimpak tinggi yang menggabungkan teknologi, ilmu falak dan ketahanan fizikal.

Menurutnya, monumen yang berada pada k ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada pendaki Muslim menentukan arah kiblat ketika menunaikan solat di altitud tinggi, malah menjadi simbol kekuatan syiar Islam di puncak tertinggi negara.

“Monumen ini bukan hanya catatan dalam buku rekod, tetapi menzahirkan usaha dakwah serta inovasi umat Islam.

“Ia berdiri megah di puncak, menjadi lambang keutuhan akidah dan ilmu,” kkatanya di sini semalam.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan dalam beberapa fasa membabitkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Pejabat Mufti Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, JUPEM, Taman-Taman Sabah dan JAKIM, menunjukkan sinergi yang kuat dalam menjayakan misi penting itu.

Katanya, kewujudan penanda kiblat itu turut memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim di rantau ini, sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong Muslim untuk melaksanakan ibadah ketika mendaki Gunung Kinabalu.

“Pendekatan ini boleh dijadikan model rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kerana menggabungkan pembangunan fizikal serta rohani secara seimbang,” katanya sambil menegaskan komitmen kerajaan dalam menyokong inisiatif keagamaan dan inovasi.

Hajiji menegaskan, pencapaian ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus melakar kecemerlangan berteraskan ilmu, kerjasama dan semangat jitu demi kemajuan Sabah selaras aspirasi Sabah Maju Jaya.