KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum memuktamadkan pendirian sama ada akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadualkan berlangsung serentak pada 24 Januari depan.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata keputusan berkaitan kedua-dua kerusi itu masih dalam perbincangan di peringkat gabungan, walaupun kecenderungan awal menunjukkan GRS mungkin tidak akan meletakkan calon.
“Itulah yang kita akan bincangkan. Belum dapat dipastikan lagi, tetapi prinsipnya kita akan beri laluan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Hajiji berkata sebarang keputusan muktamad akan dibuat melalui rundingan dan persetujuan semua parti komponen, dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kestabilan pentadbiran negeri.
“Setakat ini, kemungkinan besar kita tidak akan bertanding. Kita akan beri penghormatan dan laluan kepada parti yang menang sebelum ini, kebetulan mereka juga sebahagian daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan GRS bersedia membantu rakan parti dalam kerajaan negeri bagi menghadapi PRK berkenaan, sekiranya keputusan untuk tidak bertanding dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Hajiji menegaskan keputusan akhir masih belum dibuat kerana beberapa perkara perlu dibincangkan, termasuk rundingan lanjut bersama Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia baru-baru ini.
