KOTA KINABALU: Dasar pendidikan negara perlu memberi penekanan kepada peningkatan kualiti pembelajaran dan keadilan pendidikan, bukannya mengejar keseragaman pakaian sekolah, kata ADUN Likas, Tham Yun Fook.
Menurut beliau, penyeragaman pakaian tidak akan menyelesaikan masalah asas pendidikan seperti kekurangan guru, kemudahan sekolah yang uzur, jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar serta beban tugas guru yang semakin meningkat.
Beliau berkata, dasar berkenaan juga berisiko menambah beban kewangan ibu bapa, khususnya golongan berpendapatan rendah, selain menyebabkan pembaziran apabila pakaian seragam sedia ada terpaksa diganti.
“Malaysia negara berbilang budaya dan pendekatan satu dasar untuk semua tidak praktikal serta boleh menimbulkan kesan sosial yang tidak diingini,” katanya.
Tham turut menggesa Kementerian Pendidikan agar melaksanakan libat urus awam secara menyeluruh dan menumpukan usaha kepada penambahbaikan infrastruktur sekolah, kebajikan guru serta usaha merapatkan jurang pendidikan.
