KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menegaskan komitmennya untuk melaksanakan wawasan Sabah First sebagai asas utama pentadbiran kementerian yang diterajuinya.
Beliau berkata fokus awal kementerian adalah membangunkan ekosistem pelaburan dan keusahawanan yang mesra pelabur serta mesra usahawan, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi nadi ekonomi negeri.
Ewon turut menekankan usaha meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan PMKS agar mencapai standard pasaran domestik dan antarabangsa, selain memperkukuh keupayaan usahawan Sabah untuk bersaing di luar negeri.
Menurutnya, kementerian juga akan memperbaiki mutu perkhidmatan dan tadbir urus agensi di bawahnya, berlandaskan prinsip we must facilitate, not frustrate bagi memastikan komuniti PMKS mendapat sokongan terbaik.
Ewon, yang memulakan hari pertamanya di kementerian selepas menghadiri mesyuarat Kabinet Sabah, berkata perjuangan Sabah First termasuk tuntutan hak-hak negeri seperti termaktub dalam MA63, khususnya bayaran balik 40 peratus hasil Sabah.
Beliau turut memaklumkan akan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk bertemu pemegang taruh dan turun padang bersama komuniti PMKS, selain komited menunaikan tanggungjawabnya sebagai ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang.
