Dua lelaki dicekup main sabung ayam di ladang sawit

TAWAU: Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian sabung ayam dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kinabutan Tiku, di sini, semalam.

Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau ketika menjalankan Operasi Dadu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata pihaknya turut merampas empat ekor ayam sabung, masing-masing dua ekor masih hidup dan dua ekor sudah mati yang dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian berkenaan.

“Dua suspek yang ditahan adalah lelaki warga asing berusia antara 55 hingga 66 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 16(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.