Cement Industries sumbang RM1 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) hari ini menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.0 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai sokongan berterusan terhadap agenda pendidikan negeri.

Penyerahan replika cek sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pengerusi Bersama TPNS, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri merangkap Pengerusi TPNS, Datuk Mohd Arifin Datuk Mohd Arif, serta Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof.

Menurut Sumardi, sumbangan kepada TPNS mencerminkan komitmen CIS sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dalam menyokong inisiatif strategik Kerajaan Negeri Sabah.

Beliau berkata, usaha tersebut sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berdaya saing dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan.