SIPITANG: Sumbangan dan jasa pemimpin masyarakat di daerah ini diraikan dalam Majlis Jamuan Akhir Tahun dan Penghargaan anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sindumin.
Ketua Bahagian PGRS Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyampaikan sijil penghargaan kepada pemimpin akar umbi yang terdiri daripada kakitangan Mahkamah Anak Negeri, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ahli-ahli Majlis Daerah Sipitang.
Turut menerima penghargaan ialah ahli jawatankuasa Persatuan Peduli Rakyat Sipitang serta kakitangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin bagi tempoh 2020 hingga 2025.
Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, selain pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.
Bersempena sambutan Hari Krismas yang bakal diraikan, pemimpin tempatan yang beragama Kristian turut menerima sumbangan bakul minuman dan makanan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan.
Dalam ucapannya, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, pemimpin masyarakat khususnya di peringkat akar umbi memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan rakyat serta menyokong agenda pembangunan di kawasan kampung.
Menurutnya, golongan ini berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat serta menyuarakan keperluan rakyat berkaitan kebajikan dan pembangunan setempat.
“Sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai ADUN, sumbangan pemimpin akar umbi amat besar dalam membantu kerajaan memahami permasalahan rakyat dan mencari penyelesaian yang berkesan,” katanya.
