KOTA KINABALU – Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan kemasukan beberapa bekas pemimpin ke Parti Warisan sebagai bukan satu kebangkitan baharu, sebaliknya gelombang kekecewaan kumpulan kecil yang hauskan jawatan dan kedudukan.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman penyertaan bekas Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pitas, Datuk Harun Ismail; Ketua Penerangan PGRS Pantai Manis, Amri Abu Bakar; dan Ketua Bahagian LDP Tanjung Kapor, Datuk Peter Chin Kee Yong yang kini menyertai Warisan.
Menurut Nizam, tindakan mereka tidak mencerminkan semangat perjuangan rakyat, tetapi lebih kepada reaksi kecewa selepas tidak mendapat tempat dan peluang seperti yang diharapkan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ini bukan gelombang rakyat, ini gelombang kecewa. Saya dimaklumkan ada antara mereka pernah meminta untuk menjadi calon dan mengugut untuk keluar parti jika kehendak tidak dituruti. Maka jelas, perjuangan mereka bukan untuk rakyat, tetapi untuk diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Katanya lagi, individu berkenaan hanya menumpang hasil kerja dan pengorbanan orang lain semasa bersama GRS, namun apabila tidak lagi diberi kedudukan, mereka mula menukar haluan dengan alasan kononnya ingin memperjuangkan semula nasib rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah sudah matang menilai. Mereka tahu siapa yang benar-benar berjuang dan siapa yang hanya mencari peluang. Politik sebegini adalah politik lama — politik tamak, dendam dan kepentingan peribadi yang rakyat sudah muak,” tegasnya.
Beliau menambah, GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kekal utuh dan tidak akan tunduk kepada mana-mana politik ugutan serta perebutan habuan. Menurutnya, perjuangan GRS adalah untuk kestabilan dan pembangunan Sabah, bukan melayan kehendak individu tertentu.
“Kalau inilah yang mahu digelar sebagai ‘gelombang baharu’ Warisan, maka ia sebenarnya gelombang kecewa, gelombang tertolak, dan gelombang manusia yang sudah hilang arah,” katanya.
