BEAUFORT: Detik mencemaskan seekor kucing berwarna putih yang tersangkut pada bahagian kepala di lubang tombol pintu berakhir dengan kelegaan apabila anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort berjaya menyelamatkannya dalam satu operasi petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang di Kampung Batu 6, Lumadan, penduduk yang panik segera menghubungi balai bomba selepas mendapati haiwan peliharaan itu gagal melepaskan diri dan kelihatan semakin lemah.
Susulan panggilan diterima, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi dan tiba 15 minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Irwan Bin Abdul berkata, pasukan bomba bertindak mengeluarkan kucing berkenaan secara berhati-hati menggunakan kaedah selamat bagi mengelakkan kecederaan.
“Operasi berjalan lancar dan kucing tersebut berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat,” katanya.
Operasi menyelamat itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.44 petang tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
