Benta Wawasan raih Anugerah BrandLaureate 2025-2026

KUALA LUMPUR: Benta Wawasan Sdn Bhd sekali lagi mengukir pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah BrandLaureate 2025/2026 bagi kategori Fast Moving Growing & Sustainable BestBrands 2025-2026 pada majlis yang berlangsung di sini, 28 Jan lalu.

Anugerah berprestij itu diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Karim Abd Wahid, yang mengetuai barisan pengurusan syarikat mewakili Benta Wawasan Sdn Bhd.

Presiden BrandLaureate, Prof Dr KK Johan, berkata pengiktirafan tersebut diberikan kepada organisasi yang berani, berdaya tahan serta konsisten dalam membina jenama yang diyakini.

“Benta Wawasan Sdn Bhd diiktiraf sebagai jenama yang kukuh dan mendapat kepercayaan meluas dalam industri,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Pengiktirafan pada awal tahun ini disifatkan sebagai pemangkin semangat kepada syarikat untuk terus memperkukuh prestasi dan pertumbuhan sepanjang 2026.

Tahun ini turut membawa makna istimewa buat Benta Wawasan Sdn Bhd apabila menyambut ulang tahun ke-30 penubuhannya, sekali gus memperbaharui komitmen untuk terus menyumbang kepada pembangunan rakyat Sabah.

Syarikat itu juga menyasarkan untuk terus mengangkat nama Kumpulan Yayasan Sabah ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.