KOTA KINABALU: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai belanjawan progresif dan berhemah yang memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM6.9 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah jumlah tertinggi pernah diterima negeri itu daripada Kerajaan Persekutuan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas pembentangan Belanjawan Negara 2026 yang progresif dan inklusif.
“Belanjawan ini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan tidak mengabaikan kebajikan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, belanjawan itu turut mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri serta kestabilan politik di Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan negara,” katanya.
Antara peruntukan utama untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 ialah RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link, yang dijangka memberi impak besar kepada sistem tenaga di negeri ini.
Turut diumumkan ialah peruntukan RM220 juta bagi kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana alam, termasuk di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, selain RM39 juta untuk pelaksanaan Fasa 2 projek tebatan banjir.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menerusi peruntukan RM1.67 bilion bagi tahun depan.
Selain itu, beliau memuji usaha Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk keputusan menaikkan geran khas interim Sabah kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta sebelum ini.