Bayi Lelaki Ditemui di Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki ditemui di Taman Awam Teluk Likas pada pagi 20 Disember 2025, menurut Polis Daerah Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, laporan awal diterima pada jam 6.30 pagi melalui panggilan orang awam yang ternampak bayi itu di kawasan berkenaan.

Katanya, bayi tersebut dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui.

“Polis mengesahkan bayi itu dalam keadaan selamat, masih bernyawa, dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ambulans segera dipanggil, dan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Likas untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiada saksi yang melihat kejadian dan kawasan tersebut tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang giat mengesan individu yang bertanggungjawab dan telah memaklumkan kejadian kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan kebajikan bayi,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, SM Rosmah binti Pg Hasim, di talian 011-31677612.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi pihak terlibat,” tambahnya.