AMANAH Sasar Kerusi Sulung di Sabah — Julpikar Galas Cabaran di Sulabayan

KOTA KINABALU – Parti Amanah Negara (AMANAH) melangkah berani dalam gelanggang politik Sabah apabila mengumumkan Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon rasmi bagi DUN N.64 Sulabayan pada PRN Sabah ke-17, 29 November ini.

Pengumuman penuh semangat itu dibuat ketika Konvensyen AMANAH Sabah 2025 yang dirasmikan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu di kelmarin.

Mohamad Sabu menyeru jentera parti turun padang lebih awal, mengukuhkan gerak kerja dan memastikan setiap strategi diperkemas untuk menembusi peta politik Sabah yang selama ini menjadi cabaran besar kepada AMANAH.

Beliau menegaskan, PRN kali ini bukan pertarungan biasa kerana ia menjadi peluang terbaik untuk AMANAH meraih kerusi sulung pertama di Sabah, sekali gus membuktikan parti itu mampu diterima rakyat negeri berkenaan.

“Kerusi sulung di Sabah ini sangat penting. AMANAH mesti bekerja keras, tersusun dan penuh keikhlasan untuk menawan hati rakyat,” tegasnya disambut sorakan para perwakilan.

Mohamad Sabu turut mengingatkan ahli agar terus mengekalkan perjuangan berteraskan nilai, integriti dan keberanian moral.

“Ini kerana rakyat kini lebih menghargai pemimpin yang jujur serta berakhlak dalam memperjuangkan nasib mereka.

Calon yang diketengahkan, Mohd Julpikar, merupakan pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat kelahiran Semporna yang aktif memperjuangkan pendidikan komuniti serta pembangunan belia di daerah Semporna,” katanya.

Berpengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan dan dakwah, selain pernah dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Semporna 2023.

Beliau diyakini mampu menjadi suara baharu yang membawa politik nilai, perubahan dan harapan rakyat Sulabayan ke Dewan Undangan Negeri.