29 November ini, Pilih yang bekerja, bukan yang berjanji – Liew

KUKUSAN : Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, mengingatkan pengundi DUN Kukusan bahawa pilihan mereka pada 29 November ini adalah penentu sama ada kawasan itu terus menerima pembangunan atau kembali terhenti akibat kepimpinan yang tidak komited.

Berucap dalam satu Ceramah Mega dihadiri 7,000 anak muda di Kukusan malam tadi, Liew menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menunjukkan rekod jelas dalam memacu pembangunan sebelum ini.

Mandat baharu diperlukan untuk memastikan projek yang telah dirancang dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau kita mahu Kukusan terus maju, beri peluang kepada kerajaan GRS kembali mentadbir.

Banyak projek sudah dimulakan, tetapi untuk melihat hasilnya, kita perlukan kesinambungan. Jangan biarkan usaha selama ini tergendala,” katanya.

Liew menekankan bahawa calon PHRS-GRS, Samsiah Usman, adalah pilihan yang tepat untuk memastikan agenda pembangunan Kukusan tidak terhenti di tengah jalan.

Menurutnya, pentadbiran berterusan akan membuka ruang kepada lebih banyak kemudahan asas dan pelaburan, khususnya di kawasan kampung yang telah diwartakan.

“Jalan, lampu, air – semuanya hanya dapat berjalan jika wakil rakyat benar-benar komited bekerja, bukan sekadar muncul setiap musim pilihan raya untuk berucap dan berjanji,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Liew turut menekankan bahawa tanah yang sudah diwartakan adalah aset jangka panjang penting untuk generasi akan datang dan tidak boleh dijual sesuka hati.

Beliau menyenaraikan empat kampung yang telah mendapat kelulusan pewartaan, iaitu:

  • Kampung Airport Lama
  • Kampung Sentosa Blok 5
  • Kampung Sentosa Blok 4
  • Kampung Seri Menanti

“Tanah itu aset. Bila sudah diwartakan, jangan jual. Fikir masa depan anak-anak kita. Pemimpin yang bertanggungjawab mesti mengingatkan rakyat tentang perkara ini,” katanya.

Liew mengingatkan pengundi bahawa keputusan mereka bukan sekadar soal politik, tetapi juga soal pembangunan berterusan Kukusan.

Beliau menyeru rakyat agar membuat pilihan berdasarkan rekod, kemampuan bekerja, dan komitmen calon, bukannya sekadar retorik pilihan raya.

“29 November adalah tarikh penentu. Pilih pemimpin yang mampu bekerja, yang faham kehendak rakyat dan bukan hanya pandai bercakap, atau Kukusan akan terus tertinggal,” ujarnya.