KOTA KINABALU: Tahun 2026 disifatkan sebagai titik permulaan baharu buat Sabah untuk melangkah lebih jauh ke hadapan, apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan kesediaan penuh kerajaan negeri melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing.
Dalam perutusan Tahun Baharu 2026, Hajiji berkata SMJ 2.0 akan meneruskan momentum pembangunan yang dibina sepanjang 2025 menerusi pelaksanaan SMJ 1.0, yang menurutnya telah meletakkan asas kukuh kepada kemajuan negeri.
“Tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk kita mara ke hadapan dengan keazaman yang kuat dan semangat kebersamaan. Kerajaan negeri bersedia memastikan kemakmuran berterusan serta masa depan Sabah yang lebih cerah,” katanya.
Beliau menegaskan, hala tuju SMJ 2.0 bukan hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, sebaliknya memberi penekanan kepada perpaduan rakyat, tadbir urus berintegriti dan pembangunan inklusif supaya manfaat kemajuan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sabah.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan, sambil menyifatkannya sebagai amanah besar yang akan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan tanggungjawab.
“Dengan mandat ini, kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh kestabilan politik dan memacu pembangunan komprehensif demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mengakhiri perutusan, Hajiji mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan kejayaan berterusan kepada seluruh rakyat Sabah serta mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu 2026.
