17 Pembantu Menteri Sabah angkat sumpah, 6 ADUN Dilantik terima watikah

KOTA KINABALU: Seramai 17 Pembantu Menteri Negeri Sabah mengangkat sumpah jawatan manakala enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik menerima watikah pelantikan dalam majlis di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Istiadat berkenaan berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama Jemaah Menteri Negeri.

Pelantikan tersebut membabitkan wakil GRS, STAR dan ADUN Bebas, menandakan penyusunan semula pentadbiran Sabah pasca pembentukan Kabinet baharu.

Antara yang mengangkat sumpah ialah Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Dato’ Sri Ruddy Awah (Pitas), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Samad Jamri (Labuk), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Ruslan Muharam (Lumadan), Datuk Hendrus Anding (Tandek) dan Datuk Jonnybone J. Kurum (Telupid).

Turut dilantik ialah Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Datuk Ben Chong (Tanjung Kapor), Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Rina Zainal (Kukusan), Datuk Dr Maijol Mahap (Bandau), Datuk Ceasar Mandela Malakun, Dr Andi MD Samsureezal (Tanjong Batu), Jordan Jude Ellron (Tulid) dan Mohd Ishak Ayub (Bingkor).

Sementara itu, enam ADUN Dilantik menerima watikah masing-masing iaitu Datuk Mohamed Razali Mohamad Razi, Datuk Abdul Kassim Razali, Datuk Chin Shu Ying, Datuk Ceasar Mandela Malakun, Datuk Roger Chin dan Grace Lee Li Mei.