Zahid Henti Dana JKKK, Pemuda GRS Dakwa Pecahbelahkan Akar Umbi – Jonnybone

KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi amaran masa depan Sabah terancam jika rakyat tersilap memilih pada PRN ke-17 nanti.

Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone Kurum, berkata buat pertama kali Sabah bebas daripada cengkaman parti nasional sejak hampir tiga dekad.

“Di bawah GRS, Sabah menikmati autonomi dan kestabilan. Jika kita tewas, mungkin ambil 15 hingga 20 tahun lagi untuk semua parti tempatan kembali bersatu,” katanya di sini semalam.

Beliau mengecam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerana menghentikan dana elaun JKKK dan mewujudkan jawatan JPKK Persekutuan yang diserahkan kepada lantikan politik UMNO dan Warisan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tetap menanggung gaji JKKK sebagai bukti GRS lebih berdikari.

Pemuda GRS turut mengumumkan pelantikan Ketua Penyelaras Pemuda di setiap Parlimen serta persiapan pelancaran jentera PRN.

“Kita tidak akan biarkan Sabah kembali ke era kegelapan. Ini masa kita, ini masa Sabah,” tegas Jonnybone.

 

— SNT