Warga emas ditahan guna MyKad individu lain untuk rawatan hospital

TAWAU: Seorang wanita warga asing berusia kira-kira 80 tahun ditahan polis kerana disyaki menggunakan dokumen pengenalan milik individu lain bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kes terbongkar selepas seorang penjawat awam membawa pesakit berkenaan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tujuan semakan cap jari MyKad.

“Hasil semakan biometrik mendapati wanita tersebut menggunakan dokumen pengenalan milik individu lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan merampas sekeping MyKad untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.