KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dikekalkan sebagai Bendahari UMNO Sabah dalam barisan kepimpinan baharu parti itu.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, baru-baru ini.
Menurut laporan BERNAMA, Jafry berkata UMNO Sabah komited meneruskan perjuangan parti dengan pendekatan lebih inklusif dan matang, selari dengan kedudukan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Sabah.
“UMNO Sabah dan BN beriltizam untuk menjadi rakan kerajaan yang matang, berdisiplin dan bertanggungjawab, dengan menekankan keperluan mendengar suara rakyat serta menunaikan amanah,” katanya.
Dalam pada itu, Jafry memaklumkan UMNO Sabah telah mengenal pasti beberapa individu sebagai calon berpotensi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Katanya, pemilihan calon dibuat berdasarkan kriteria boleh menang hasil sesi libat urus bersama pimpinan akar umbi tempatan, dengan keputusan muktamad akan dibuat pada masa yang sesuai.
Beliau turut menjelaskan calon yang dikenal pasti terdiri daripada lelaki, muka baharu dan dilihat berpotensi memberi kemenangan lebih meyakinkan kepada parti.
Sebelum ini, Barisan Nasional mengumumkan Naim Kurniawan, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan.
