Tiga lelaki mabuk ditahan dalam Op Mabuk di Penampang

PENAMPANG: Tiga lelaki ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi khas Op Mabuk dijalankan polis di Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, berkata semua suspek ditahan selepas ujian saringan alkohol yang dijalankan menunjukkan bacaan melebihi had dibenarkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000, selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun jika disabitkan kesalahan.

“Dalam operasi berkenaan, polis turut mengeluarkan tujuh saman terhadap pemandu yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sammy berkata, operasi yang diketuai Inspektor Rozami Hj Ahmad dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut membabitkan enam anggota.

Sebanyak 72 individu dan 60 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

Menurutnya, Op Mabuk dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan mengelakkan kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya.