KOTA MARUDU: Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam beberapa kes kecurian serta penggunaan wang palsu di sekitar daerah ini, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simiun Lomudin berkata tangkapan dibuat hasil siasatan terhadap tiga kes berasingan melibatkan kecurian 10 tong gas, lima kampit beras dan kes penggunaan wang palsu RM100 di sebuah stesen minyak.
Menurutnya, suspek menggunakan sebuah kenderaan Perodua Axia dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika melakukan jenayah sebelum rakaman itu tular di media sosial.
“Hasil serbuan di tiga lokasi berasingan, polis berjaya merampas semula tujuh tong gas, lima kampit beras serta sebuah kenderaan yang digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 30 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk seorang yang dikehendaki mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam serbuan sama, polis turut menemui bahan disyaki dadah jenis syabu dan ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif amphetamine serta methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 498B Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
