TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mencadangkan penambahan kawasan Parlimen di Tawau susulan peningkatan ketara jumlah pengundi di kawasan itu.
Beliau berkata, jumlah pengundi yang kini melebihi 80,000 orang menunjukkan keperluan untuk menilai semula struktur pembahagian kawasan sedia ada bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, pertambahan itu bukan sahaja meningkatkan beban tugas wakil rakyat dari segi liputan kawasan, malah menjejaskan keupayaan untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pengundi di peringkat akar umbi.
“Cadangan mewujudkan dua Parlimen baharu di Tawau adalah antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan setiap kawasan mendapat perhatian lebih seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, di Dewan Masyarakat Tawau di sini hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, secara ideal satu kawasan Parlimen seharusnya melibatkan sekitar 40,000 hingga 50,000 pengundi bagi memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang penstrukturan semula perlu mengambil kira faktor demografi, kepadatan penduduk serta keperluan pembangunan setempat.
Dalam masa sama, katanya, cadangan tersebut perlu melalui saluran rasmi termasuk penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kelulusan di peringkat Persekutuan.
Lebih 6,000 masyarakat pelbagai kaum hadir di majlis rumah terbuka ini bermula jam 10 pagi sehingga 1 tengahari.
