KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah melancarkan Skuad Sukarelawan BN yang akan digerakkan di 25 kawasan Parlimen seluruh negeri bagi membantu mangsa bencana alam.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun pelancaran rasmi hanya dibuat hari ini, skuad itu sebenarnya sudah beroperasi sejak tiga hari lalu termasuk turun padang membantu kerja pembersihan pascabanjir.
“Pada mulanya kita hanya sewa empat lori tangki, tetapi melihat keperluan di lapangan jumlah itu ditambah kepada lapan atau sembilan lori untuk mempercepat proses pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan skuad berkenaan di perkarangan Bangunan UMNO Sabah, hari ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, BN turut menyediakan peralatan tambahan seperti mesin penembak air untuk digunakan skuad sukarelawan di kawasan terjejas.
Beliau menjelaskan, skuad berkenaan akan berdaftar secara rasmi serta digerakkan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan bantuan lebih teratur dan menyeluruh.
“Dana operasi tidak ditetapkan jumlah khusus, ia bergantung kepada tahap keperluan di lapangan dan turut dibantu beberapa syarikat korporat serta sokongan parti,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, pasukan itu melengkapi peranan sukarelawan sedia ada di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat, namun akan bergerak sebagai organisasi berasingan yang memberi fokus khusus kepada komuniti setempat.