Sindiket syabu RM1.64 juta tumpas di Tawau

TAWAU:  Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 23.5 kilogram (kg) syabu bernilai RM1.64 juta dalam dua serbuan berasingan, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan pertama di sebuah stor kenderaan di Jalan Sin Onn membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

“Suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas. Pemeriksaan menemukan tiga bungkusan syabu seberat 3,071.04 gram bernilai kira-kira RM214,973,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, serbuan kedua di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Jawa membawa kepada penahanan tiga lagi individu termasuk seorang wanita dan warga emas berusia 73 tahun.

Katanya, sebanyak 20 paket syabu seberat 20,471.12 gram bernilai RM1.43 juta ditemui dalam bilik berkunci.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.