Shafie nafikan dakwaan ‘beli Adun’: “Warisan tidak akan tunduk kepada politik kotor”

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak keras dakwaan bahawa partinya sedang memujuk atau membeli sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi membentuk kerajaan.

Shafie menyifatkan tuduhan itu sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada ketidakstabilan dalam blok lawan, dan menegaskan Warisan tidak pernah menggunakan taktik politik kotor.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Warisan terlibat membeli atau memujuk Adun.

Kepimpinan mesti datang daripada kepercayaan rakyat, bukan melalui transaksi politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pengundi yang memilih Warisan dalam PRN, sambil menegaskan amanah mereka tidak akan disia-siakan.

“Kepercayaan anda amat kami hargai. Amanah itu kami pikul dengan penuh rendah hati dan rasa hormat.”

Shafie menegaskan Warisan tetap menghormati mandat rakyat dan akan memainkan peranan sebagai parti politik secara bermaruah dan konsisten.

“Kami kekal fokus untuk berkhidmat kepada Sabah dengan iltizam yang tidak berbelah bahagi — bukan terlibat dalam permainan kuasa yang merugikan rakyat.”