KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor, tidak menolak kemungkinan Adun Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan, akan meneruskan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Sanusi berkata Aliakbar pernah berada dalam kerajaan GRS sebagai Adun lantikan pada penggal lepas, dan pendirian baharunya masih belum dimuktamadkan.
“Mungkin ada kerjasama, mungkin belum,” katanya seperti dipetik FMT malam tadi.
Pertembungan 11 penjuru di Karambunai menyaksikan Aliakbar menang dengan 7,054 undi, mengatasi Warisan, GRS dan BN, dengan majoriti 365 undi.
Aliakbar sebelum ini berkata beliau akan berbincang dengan pucuk pimpinan PN mengenai langkah terbaik sama ada menyokong kerajaan atau menjadi pembangkang.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut menegaskan bahawa pandangan PAS perlu diambil kira sebelum menentukan pendirian gabungan itu terhadap kerajaan Hajiji.
Sanusi menambah kemenangan PN di Karambunai membuktikan pendekatan parti itu semakin diterima walaupun berdepan sentimen parti tempatan yang kuat di Sabah.
